Mar 25, 2015

Kuasa

Tika makalah ini ditulis, selesai sudah peralihan kuasa kelab yang aku pikul sebelum ini. Walaupun tidak sepenuhnya, tetapi bebannya tetap dirasai, perasaan rasa serba salah yang kian lama kini semakin pudar namun kesan parutnya masih ada. Mana tidaknya, sikit demi sedikit aku cuba lari dari hiruk pikuk kerja ini. Bukan apa, beban yang dipikul lebih daripada kemampuan aku. Tambahan, aku dilantik pun bukan atas dasar kredibiliti tetapi perbincangan yang sedang tersepit. Syura.

Tika makalah ini ditulis,
beberapa hari lagi program dibawah kelolaan aku akan berlangsung. Tidur, makan, solat, semuanya terfikirkan tentang hal ini. Rasa bersalah juga turut menyelubungi aku kerana disebabkan kelemahan aku, organisasi program menjadi terbeban.

Tika makalah ini ditulis, lagi sebulan aku akan melepaskan jawatan kolej yang dulu aku rasa aku boleh mengubah suasana menjadi biah solehah dengan kuasa, tetapi realitinya sungguh pahit. Setiap hari aku akan rasa bersalah jika azan lewat, kerana penghuni kolej sudah anggap kerja azan itu organisasi kolej yang perlu fikirkan dan laksanakan. Padahal, itu semua tanggungjawab bersama selama mana orang itu bergelar muslim. Alangkah bagusnya jika syariat Allah itu dilihat sebagai 'kalimah Allah' yang sibuk orang Malaysia ni nak perjuangkan. Adapun jemaah-jemaah di kolej, mungkin kesatuan yang ditagihkan supaya semua akan rasa 'belonging' terhadap mukim yang sedang diduduki ini.

Tika makalah ini ditulis, lagi beberapa hari lagi rakan-rakan seangkatan aku akan bergraduasi dan insyaAllah akan bergelar Doktor. Aku terus ditakuk tahun 3. Yang pandai terus mara kehadapan, yang bodoh ketinggalan. Itulah sistem, ciptaan manusia yang ia sendiri tidak boleh mengukur manusia itu sendiri. Lemah!.

"Asal kau sangkut, mulalah salahkan sistem. Lihatlah pada diri sendiri. Orang lain boleh buat, kenapa kau tidak?"

Sebab orang lain tak gila kuasa macam aku. Pernah aku sampai ke tahap ini, cuba mencari punca luaran untuk menutup kelemahan dalaman.

Aku rasa bersyukur, setapak kebelakang yang dikurniakan cukup memberi erti kepada aku untuk berhenti sejenak, memerhati, berfikir dan mencari apa sebenarnya yang aku kejar. Satu perkara yang aku belajar tentang kuasa.

Kuasa itu punya harapan.

Kaum musyrikun itu menyembah berhala, hamba firaun taat kepada Firaun, rakyat jelata taat kepada pemerintah, pengikut ajaran sesat taat kepada Ayah Pin. Semuanya kerana hierarki atasan itu punya kuasa, yang dibawah punya harapan terhadap mereka yang diatas, ikut sahaja.

Badan agama punya kuasa dalam hal keagamaan, rakyat meletakkan harapan agar agama sentiasa dibela dan dipelihara. Walhal, memelihara agama itu tanggungjawab setiap individu.

Parti politik, pak menteri punya kuasa menggubal undang-undang demi kemaslahatan rakyat. Rakyat meletakkan sepenuh harapan kepada mereka sebagai wakil rakyat.

Namun, harapan itu sering dirobek. Akhirnya, kita dibawah ini yang kecewa. Kuasa digunakan dengan sambil lewa, lupa akan terikatan kepada Yang Maha Kuasa. Baru aku ngerti mengapa ada golongan yang sudah tawar dengan politik-politik di Malaysia khususnya. Mereka bukannya tidak cakna, malah lebih arif dalam bidang politik. Cumanya, mereka mungkin sudah serik dengan harapan yang dicanangkan. Aku pun seakan mahu turut serta. Masakan tidak, bila aku berada diatas aku dapat bayangkan betapa kecewanya orang bawahan aku akan ketidaktelusan aku dalam mentadbir. Aku pun turut kecewa.  Aku tidak dapat bayangkan apa yang Allah akan persoalkan akan amanah yang aku pikul. Makin banyak beban sepatutnya aku lebih tertunduk mengabdikan diri yang lemah ini kepada Yang Maha Kuat. Ini tidak, kehidupan aku menjadi serba tak kena, sampai kadang-kadang terlanggar, terbabas. Mensufikan haraki yang pernah aku tanam seawal memikul amanah hanya tinggal retorik.

Inikah natijah amanah?

Bukanlah untuk aku menidakkan kepentingan kuasa untuk membawa kebaikan kepada umat. Namun, bukan semua yang perlu turun untuk berperang. Masyarakat itu sendiri ada polanya tersendiri. Ada masyarakat atasan, pertengahan dan bawahan. Jika semua duduk diatas, siapa nak jaga yang dibawah? Sedangkan yang diatas sibuk berbalah menegakkan ego masing-masing.

Inikah natijah kuasa?

Buat mereka yang sudah kecewa dengan kuasa, jangan risau. Bersederhanalah dan jadilah di pertengahan. Golongan pertengahan ni terus rancak menjalankan kerja-kerja mereka demi membela nasib rakyat kelas bawahan. Golongan pertengahan ini boleh jadi golongan yang besar dan penggoncang kelas atasan. Biarlah senyap sepi sahaja tetapi tangan yang rancak bekerja. Kerana nilaian itu dari Yang Maha Besar walaupun perkara yang kita buat itu maha kecil.

Buat mereka yang ada kekuatan dan kredibiliti, teruskan perjuangan untuk sepak terajang di kelas atasan. Teruskan merancang dan menggubal sana sini, tetapi jangan lupa akan badan pelaksana yang dipertengahan ini serta kuasa yang tidak pernah mengecewakan, Allah.

Yang benar,
Bekas Orang Atasan Yang Kecewa.


About the Author

Muhammad Zuhair Masiran

Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

2 comments:

  1. Kuasa boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Tipikalnya, orang akan lihat kuasa itu ada pada jawatan dan pangkat. Pada harta dan darjat. Walhal kuasa itu telah sedia ada dalam jiwa manusia itu sendiri. Carilah ia, keluarkan kuasa itu melalui apa cara yang engkau cenderung. Sebagai contoh penulisan. Kalau kuasa itu benar-benar datang dari jiwa yang ikhlas, lalu mengalir dalam tulisan yang jelas, pasti akan sampai pada sasarannya.

    Pasal solat jemaah dan surau tu. Ada kuasa pada penamu. Gerakkan ia! Moga ia menjadi asbab untuk Allah campakkan hidayah ke dalam hati manusia.

    ReplyDelete
  2. abang memang hebat sebenarnya. saya dah lama admire abang.

    ReplyDelete

 
ZUHAIR MASIRAN © 2015 - Blogger Templates Designed by Templateism.com