Dulu masa sekolah rendah, pergi sekolah petang atau agama semata-mata nak baraikan kerusi kayu, kemudian cari kayu yang terbaik untuk buat main rondas, dalam bahasa penjajah baseball. Belum sempat loceng balik berbunyi, budak basikal gipang dah lesap. Balik bukan terus ke rumah, pergi padang terus.
Permainan ini memerlukan pembaling, pemukul dan penangkap bola. Permainan ni sangat dinamik kerana melibatkan interaksi antara dua hala. Pertama, antara pembaling dengan pemukul. Kedua, antara pemukul dengan penangkap bola.
Permainan ini juga menjadi analogi yang sangat cantik yang dibawa oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren dalam bukunya 'How to Read A Book'.
Begitu juga dalam pembacaan, ia adalah interaksi antara si pembaca dengan buku atau ilmu. Interaksi dua hala ini perlulah dinamik untuk memastikan apa yang kita baca itu kita faham dengan lumat. Interaksi yang dinamik memerlukan persoalan yang kritis. Sama seperti pembelajaran dalam kelas, untuk memastikan suasana pembelajaran menjadi segar, pelajar perlu bertanya kepada guru. Wujudkan perbincangan, bukan hanya menjadi daun keladi yang tunggu dicurah sahaja. Kalau tidak, sama sahajalah kita belajar dengan saitan, belajar syok sendiri. Buku umpama cikgu tidak bernyawa, kalau kita tidak bertanya atau mewujudkan persoalan, kita syok sendiri. Sebaliknya, jika bertubi-tubi persoalan yang ditimbulkan, buku itu seolah-olah hidup, lebih dahsyat kita dapat rasa si penulis sedang bercakap dengan kita.
Dalam buku ini, penulis mencadangkan sebagai permulaan untuk mewujudkan persoalan, cuba kita fikir apakah sebenarnya penulis sesuatu buku itu ingin sampaikan? Untuk mengetahui secara menyeluruh dengan ringkas, pendahuluan atau kata pengantar dari penulis sangat penting untuk kita baca. Meneliti isi kandungan dapat memberi gambaran kasar tentang gaya pemikiran penulis untuk sampaikan mesejnya. Mengetahui latar belakang penulis juga sangat penting, supaya kita dapat tahu sosiobudaya zaman penulis yang membentuk gaya pemikiran penulis itu. Bila perkara ni kita dah boleh hadam, insyaAllah bukan sahaja pembacaan kita laju, malah kita dapat perkara yang tersirat dan faham dengan mudah. Terdapat pelbagai teknik pembacaan laju atau dalam bahasa penjajah 'speed reading'. Dalam buku ini juga ada diterangkan beberapa perkara mengenai teknik ini.
Walaubagaimanapun, kita baca laju bukan untuk tunjuk hebat kita baca banyak buku. Tetapi kerana kebodohan kitalah, kita terus membaca. Suka aku untuk petik kata-kata hikmah daripada Jejak Tarbiyah ,
"Kita anak muda, mudah saja terpengaruh, cepat terkagum pada sikap Barat yang mahu rasa lepas bebas pendapat. Jika mereka membaca untuk melawan, kita membaca dengan nama Tuhan. Itu beda."
sejak2 dah kawen ni, sunyi je blog. bila nak update?
ReplyDeleterilek-rilek dulu. Tunggu dia update dulu..
ReplyDelete