Bismillahirrahmanirrahim.
Setahun sekali ia hadir, hadirnya
bukan sehari tetapi 30 hari. Itulah ia Ramadhan. Sudahlah begitu, dikurniakan
lagi ganjaran yang berlipat kali ganda di dalamnya. Ibarat ada satu promosi di
‘kompleks Ramadhan’ di mana pengunjungnya diminta untuk mengaut seberapa banyak
‘ang pow’ yang telah ditawarkan. Ada ang pow solat sunat, ada ang pow baca
quran dan sebagainya. Pastinya ang pow itu berisi, silap-silap ada cek ribuan
ringgit. Tidakkah kita berasa gembira?
Bila bicara mengenai Ramadhan,
ada satu perkara yang amat berkait rapat dengan Ramadhan iaitu ‘ang pow’ solat
sunat Tarawih. Solat sunat Tarawih juga dipanggil Qiyam Ramadhan (sembahyang
menghidupkan Ramadhan). Itulah uniknya solat sunat ini, qiyam yang hanya dapat
dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja. Usah pertikaikan bilangan rakaat yang perlu
dilakukan. 8 rakaat atau 20 rakaat? Kedua-duanya ada nas yang sahih, maka tiada
masalah untuk buat yang mana satu, asalkan mengikut kemampuan kita. Yang
pastinya siapa yang buat lebih, dialah yang dapat lebih.
Sungguh rahmat Allah itu sangat
luas. Solat sunat Tarawih antara ibadat di bulan Ramadhan yang paling mudah
untuk mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda disamping mencari redha Allah.
Cumanya, dalam soal untuk memilih untuk membuat 8 atau 20 rakaat, alangkah
bagusnya jika apa yang kita buat itu berdasarkan nas yang telah kita dengar,
baca, diperjelaskan dan kita fahami. Semoga dengan itu kita dapat memenuhi
kriteria ‘penuh keimanan’ yang
terdapat dalam dalil dimana Tarawih disyariatkan1,
Al-Bukhari, Muslim dan lainnya
meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa dia berkata: Rasulullah s.a.w.
bersabda:
Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keihklasan
kepada Allah akan diampunkan oleh Allah segala dosa yang telah lalu.
Solat sunat Tarawih dan bulan
Ramadhan bukan sekadar program tahunan yang sudah biasa kita alami. Ada latihan
yang tersirat yang ingin Allah berikan kepada hamba-Nya supaya dengan
keikhlasan kita akan diampunkan dosa kita yang lalu dan mempersiapkan diri kita
untuk menghadapi 11 bulan lagi yang akan mendatang, itupun jika kita sempat
sampai untuk Ramadhan seterusnya. Jadi, ayuhlah kita bersungguh-sungguh untuk
Ramadhan yang bakal tiba.
Ibu yang nak bersalin pun ada
pre-partum, intra-partum dan post-partum. Begitu juga kita. Bersiap-siagalah
kita untuk menantikan kehadiran Ramadhan. Mulakan pre-Ramadhan kita sekarang,
supaya kita dah biasa, kuat untuk beribadah bila intra-Ramadhan dan hasil
latihan selama sebulan itu dapat kita lihat untuk 11 bulan seterusnya. Itulah
post-Ramadhan.
Sungguh comel ‘bayi’ yang telah
lahir itu!
Sumber:
1.
Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 1 (Dr. Mustofa
Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji)
Post a Comment