Sep 6, 2015

KENAPA MUAK DENGAN POLITIK KAMPUS?

Syarahan Prof Azmi Shaharom di Syarahan Jalanan yang diadakan di BERSIH anjuran UTAM baru-baru ini menekankan bahawa demokrasi kita telah dicabul bermula dari perkara asas  lagi bila mana semua sektor kerajaan telah di-institusi-kan. Dengan makna lain, semua sektor, badan kerajaan mahupun yang bebas dikawal ketat oleh kerajaan dan beroperasi mengikut hawa nafsu serakah kerajaan, seperti badan kehakiman, badan pencegah rasuah, hatta universiti sekalipun. Beliau menekankan lagi bahawa jika berubah kerajaan sekalipun dan sistem ini masih tidak dibaiki, pembangkang dan kerajaan sama sahaja. Menjadi tanggungjawab kepada kita, rakyat biasa bagi memastikan wakil kita, wakil rakyat untuk bergerak mengikut landasan yang betul. Jika tidak, kita tetap akan mendesak mereka hatta mereka daripada Pakatan Rakyat sekalipun.


Dalam buku ‘Mahasiswa Bangkit’, artikel tulisan Hazman Baharom (halaman 1) menyatakan bahawa ini adalah struktural masyarakat yang bermasalah. Dalam hal ini, kita akan memfokuskan pada permasalahan universiti, artikel beliau itu juga merupakan respon dan kritikan terhadap universiti di Malaysia yang ketandusan idea untuk meningkatkan martabat universiti dengan cara memecahkan rekod-rekod baru yang mencuitkan hati. Antaranya adalah senaman selama 36 jam tanpa henti, susunan donut terpanjang dan sebagainya. Lucu bukan? Beliau mengunjurkan tiga faktor utama kepada permasalahan ini.

1. Industrialisasi Ekonomi

Pada awal tahun 1980-an, dasar penswastaan dan modenisasi telah diperkenalkan di Malaysia. Secara tidak langsung, permintaan tenaga kerja mahir meningkat tinggi. Hal ini mungkin  merupakan respon negara kita terhadap Revolusi Industrialisasi yang berlaku pada sekitar 1760-1840, kemudian berlaku Revolusi Industri yang kedua iaitu 1860 sehingga Perang Dunia Pertama 1914-1918. Walaupun Revolusi Industri bermula di Britain, ia akhirnya berkembang sehingga ke asia pada lewat abad ke-19 sehingga menjadikan Jepun antara negara Asia yang industrinya berkembang pesat seterusnya menjadi negara yang berpengaruh pada abad ke-20.

2. Ketempangan Dasar Pendidikan

Bagi mengharungi persaingan yang maha dahsyat ini, pendidikan tinggi khususnya terpaksa digunakan bagi menghasilkan produk-produk yang boleh menjadi enjin untuk menjana ekonomi negara ketika itu. Memang tidak dinafikan bahawa industrialisasi perlu bagi menuju kearah pembentukan sebuah negara maju, tetapi respon institusi ini terhadapnya perlu dikaji semula. Pengajian tinggi hanya memberi fokus kepada bidang sains dan teknikal yang dahulunya kritikal kepada pelajar-pelajar cemerlang manakala pengajian sosial dan bahasa menjadi semakin malap. Ini menimbulkan keadaan yang berat sebelah dan tidak bagus dalam memastikan kestabilan struktur masyarakat. Sebagai contoh bidang perubatan, ya, dulu nisbah doktor kepada rakyat Malaysia sangat kecil dan kerajaan telah meningkatkan pengambilan pelajar perubatan dalam jumlah yang agak besar sehingga hari ini telah menyebabkan berlaku lambakan doktor. Bukan itu sahaja, malah kualiti doktor juga semakin merudum akibat terlalu ramai pelajar perubatan di institusi untuk diberi perhatian. Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak membuat kajian yang khusus terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu polisi atau tindakan.

Hal ini telah dikritik oleh John Henry Newman dalam tulisan beliau ‘The Idea of University’ yang diterbitkan pada 1873 ;

‘Now this is what some great men are very slow to allow; they insist that education should be confined to some particular and narrow end, and should issue in some definite work, which can be weighed and measured. They argue as if every thing, as well as every person, had its price; and that where there has been a great outlay, they have a right to expect a return in kind. This they call making Education and Instruction ‘useful’, and ‘Utility’ becomes their watchword.’

Memetik ulasan Hazman Baharom;

'Petikan di atas menerangkan kritikan Newman ke atas keghairahan dunia akademik pada waktu itu untuk menghasilkan manusia yang mempunyai nilai material, yakni melihat universiti hanya sebagai tempat latihan pekerja industri. Untuk beliau, unviersiti seharusnya bergerak lebih jauh daripada hanya menyediakan manusia yang mampu menjana pulangan dari sudut material semata-mata seperti jurutera dan saintis.’

Apa yang hendak dihairankan, perkara ini telah berlaku sejak lama lagi, cumanya negara kita agak lambat menerima tempias industrialisasi ini.

3. Politik Pentadbiran Universiti

Kemerosotan universiti bertambah teruk lagi apabila politik kepartian diseledup masuk ke institusi ini, sama ada secara terang-terangan mahupun rahsia dan tidak kiralah kerajaan ataupun pembangkang. Saya tidak mahu menuduh pentadbiran universiti sebagai pengampu parti kerajaan, tetapi tindakan demi tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang berbeza pendapat dengan kerajaan, menunjukkan seolah-olah pentadbiran universiti berat sebelah. Berdasarkan pemerhatian saya selama berada di alam universiti ini, bermula tahun pertama saya, ketika itu pro-aspirasi memegang tampuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan tahun berikutnya Gabungan Mahasiswa mengambil alih sehinggalah sekarang ini, tiada perbezaan ketara yang dapat saya lihat. Kedua-dua blok pemikiran ini hanya sekadar berlegar sekitar siapa lebih hebat dalam mengani isu kebajikan mahasiswa, tiada perdebatan intelektual, jika adapun amatlah sedikit. Belum ditambah lagi dengan tindakan pentadbiran universiti yang lebih gemar mencantas wacana-wacana intelektual, lebih-lebih lagi yang sensitif kepada pihak kerajaan.
“Isi perut dahulu, baru isi otak”
Ya, tapi sampai bila. Frasa diatas hanya sesuai untuk gelandangan yang mahasiswa sendiri patut turun untuk bantu, mengembangkan ilmu dan memberi kefahaman. Bukan untuk kehidupan utopia mahasiswa di universiti ini!

Saya ada menyatakan kegusaran ini kepada Dr Maszlee Malik dalam Syarahan Jalanan. Jawapan beliau sangat menenagkan walaupun agak idealistik.

Beliau mencadangkan, sebenarnya tidap perlu pun blok pemikiran pro-establishment atau anti-establishment di kalangan mahasiswa, dan juga tidak perlu pun HEP yang menganggap mahasiswa ini macam budak kecil, semua benda hendak dipantau dan hendak dikongkong. Yang wajib ada pada kalangan mahasiswa adalah Student Union. Kesatuan Mahasiswa adalah suatu perkara yang ditagih dalam memastikan falsafah universiti terpelihara daripada nafsu serakah ahli-ahli politik. Kita perlu ajar mereka supaya mereka perlu kepada kita, bukannya kita perlukan mereka. Mereka adalah kuli kita, tidak kiralah parti kerajaan mahupun pembangkang, semua sama sahaja.


Bolehkah mahasiswa pro dan anti-establishment bergabung? Ya, boleh dan saya terus positif tentang perkara ini andai wacana-wacana intelektual terus disuburkan kerana kejahilan hanya dapat ditewaskan dengan kebijaksanaan. Menyahut seruan Prof Shaharir, yang dikatakan mencegah dengan tangan itu bukan setakat kuasa, tetapi TULISAN!

About the Author

Muhammad Zuhair Masiran

Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

Post a Comment

 
ZUHAIR MASIRAN © 2015 - Blogger Templates Designed by Templateism.com