Jan 16, 2015

Pernah Pandai

"Bro, aku nak pergi exam ni, berilah semangat sikit".

Roomate aku tersenyum. Mungkin dia pun akan tergelak sekali kalau dia berada di tempat aku, mendengar dia beri nasihat. Otak gila-gila tapi beri nasihat?

Kami terdiam sebentar.

"Ada seorang doktor, pakar kanak-kanak. Dia ni hebat dari segi pemikiran," dia memulakan perbicaraan.

"Doktor ni pernah kongsi pengalaman dia ketika zaman persekolahan. Sempoi jer ceritanya, doktor ni kata 'I were smart'. Ditambahnya lagi, bidang perubatan ni bidang yang membodohkan pelajar", aku tersentap dan mula tertarik. Setengah jam lagi sebelum mula peperiksaan aku hiraukan sebentar.

"Kenapa doktor tu cakap macam tu?" aku tertanya-tanya.

"Doktor ni masa zaman sekolah menengah pernah sampai ke peringkat internasional kuiz fizik, disebabkan faktor umur yang terlalu muda, dia tidak layak untuk meneruskan perjalannya itu"

Aku semakin kagum. Seakan-akan budak yang memeluk erat patung beruang dan fokus mendengar ayahnya bercerita.

"Doktor tu kata bidang perubatan ni tidak menggalakkan kita berfikir. Kita sekadar hafal teks dan aplikasikan dalam pengamalan kita. Kalau fizik, campaklah apa benda pun, kita akan mula berfikir mencari punca, analisa dan cuba mencari justifikasi".

Aku semakin bersetuju dengan pendapat doktor tu. Aku yang dulu pernah minat fizik dan matematik, faham bahawa daripada satu formula yang asas kita boleh kembangkan kepada formula yang lebih kompleks, tanpa perlu menghafal formula pun. Nampak macam poyo, tapi aku rasa itulah hakikat belajar nombor. Sebab itu aku hairan bila melihat ada yang menghafal formula sejurus sebelum masuk dewan peperiksaan, semata-mata supaya ingat sementara selama mana peperiksaan berlangsung. Bukankah itu semua logik? Pernah juga aku mewakili sekolah untuk kuiz fizik dan matematik di peringkat daerah, ingat lagi ketika itu di KISAS. Sejurus aku masuk sekolah itu, aku lihat semua orang sedang sibuk membuat ulangkaji, aku tidak berhajat untuk sampai ke peringkat tertinggi dalam kuiz itu, di peringkat awal lagi aku telah tersingkir. Tapi apa yang aku dapat lebih berharga dari tu. Melihat situasi itu, mengimbas kembali kenangan aku semasa Darjah 3, tika itu batch aku adalah batch terakhir yang ada sistem PTS. Macam robot dah aku tengok.

Tapi aku yakin, doktor tu bukan orang yang gila keputusan peperiksaan. 

"Doktor tu sendiri tidak suka doktor-doktor yang lain kat department tu".

Aku tersenyum. Semua pelajar perubatan UKM maklum sahaja keadaan Paed Department UKM, gila marah tak tentu pasal, gaduh sesama sendiri gara tidak sehaluan dan ego dengan pangkat masing-masing mungkin. 

"Doktor ni pelik sikit, walaupun dia tak terkenal di Malaysia, tapi peringkat internasional ramai kenal dia, sampai ada yang refer pesakit kepada dia. Doktor ni merasakan seperti tidak berfikir bila masuk bidang perubatan, sebab tu dia ambil lagi kepakaran immunologi. Katanya, sebab apa dia ambil immunologi, bila ada konferens immunology, dia dapat jumpa pelbagai latar belakang pemikir dan pakar yang berusaha untuk menghasilkan perubatan yang lebih maju berbanding sekarang".

"Pendek kata, doktor tu pentingkan berfikir. Kalau dia buat pengajaran, dia tidak akan bertanya apa yang dah ada dalam buku, tapi dia akan tanya pelajarnya apa yang boleh dibuat lagi selain apa yang dinyatakan dalam buku".

Semangat aku mula berkobar-kobar. Ya, kalau ditanya apa simptom-simptom bagi sesuatu penyakit ramai yang boleh menjawab siap boleh bagi senarai, tapi berapa ramai yang boleh menjawab kenapa simptom itu berlaku?

Pencerahan

Dalam bahasa kampung aku, orang panggil enlightenment. Pencerahan ni berbeza dengan orang yang ada banyak ilmu. Ia hanya berlaku selepas proses berfikir. 


Orang yang banyak ilmu boleh jadi dia akan jadi sombong, ego, berasa diri lebih pandai daripada orang lain. Orang yang berfikir dan mendapat pencerahan, akan berusaha untuk berfikir lagi kerana semakin dia dapat pencerahan, semakin dia merasakan dirinya bodoh, lalu tunduk malu ibarat resam padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi. 

Itulah situasi yang berlaku di hospital ni. Pakar-pakar bergaduh sesama sendiri gara-gara ego masing-masing. Yang menjadi mangsa, anak didiknya juga. Mujur doktor ini tidak terlibat dalam kancah jenayah ini.

Namun, bukan mudah untuk mendapat pencerahan, terdapat mahar yang perlu dibayar untuk sesuatu pencerahan iaitu kita akan merasakan diri kita sangat bodoh. 

Aku harap, inilah jawapan aku bagi entri aku sebelum ni. Sudah ada rentak semangat membaca, teruskan dengan semangat berfikir pula. Agar apa yang berada dalam otak, turun ke hati. Kerna hati itu adalah raja anggota badan yang lain. Semoga kita diberi kekuatan untuk beramal.

Dah dua tahun tertinggal berbanding kawan-kawan yang akan bergraduasi beberapa bulan lagi. Bodoh sangatkah aku? 
Tidak, cuma aku pernah pandai. (cewah=)

About the Author

Muhammad Zuhair Masiran

Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

Post a Comment

 
ZUHAIR MASIRAN © 2015 - Blogger Templates Designed by Templateism.com