Alhamdulillah, dikurniakan sahabat yang suka membaca, maka terpercik sirna kebaikannya kepada diriku. Sering ditegur, kekadang dimarahi olehnya juga. Buku yang dikongsikan sangat membuka minda, bagaimana Islam itu adalah agama yang mendidik secara umumnya. Dalam buku ini, pendidikan itu difokuskan kepada kekeluargaan.
Buku ini juga menjadi peringatan kepada pasangan-pasangan halal iaitu diri aku yang mengaku mengikut sunnah, adakah kita sudah mencapai matlamatnya atau masih lena dibuai mimpi indah? Atau masih sibuk menulis diari di facebook tentang kisah-kisah 'fantasi'?
Tulisan kali ini, suka aku petik kata-kata Syed Qutb yang dinukilkan dalam buku ini bagi menggambarkan bahawa Islam yang dikatakan agama yang mendidik itu bukanlah retorik tetapi bersifat amali dalam setiap juzuk kehidupan kita, bukan sahaja dalam perkahwinan, kekeluargaan, malah sekecil-kecil perkara seperti masuk tandas juga diajarkan adab-adabnya.
"Muhammad bin Abdullah mencapai kejayaannya pada hari para sahabatnya melakarkan gambaran yang hidup tentang keimanan. Lakaran itu menggambarkan bagaimana Baginda makan dan berjalan di pasar. Baginda berjaya membentuk setiap sahabatnya menjadi Al-Quran hidup yang bergerak di muka bumi. Selain itu, Baginda berjaya menjadikan setiap sahabatnya sebagai contoh yang jelas tentang Islam di mana setiap orang apabila melihat mereka pasti mengenali Islam.
Oleh itu, Muhammad s.a.w. menjadikan tujuan utamanya adalah mencipta modal insan, bukan memberi nasihat, membentuk jiwa atau menyediakan khutbah yang indah. Baginda juga menumpukan kepada pembinaan umat, bukan mencipta falsafah. Namun, perkara yang berkaitan secara khususnya, Allah s.w.t. sudah menjadikan Al-Quran sebagai jaminannya. Tugas Muhammad s.a.w. adalah menterjemahkan pemikiran yang abstrak menjadi modal insan yang dapat disentuh dengan tangan dan dilihat dengan mata kasar.
Teks sahaja tidak mampu berbuat apa-apa. Mushaf Al-Quran semata-mata tidak mampu menghasilkan apa-apa sehinggalah lahirnya seorang modal insan, prinsip sahaja tidak mampu bertahan lama sehingga ia sebati menjadi sebahagian daripada tingkah laku.
Muhammad s.a.w. sudah berjaya pada hari Baginda membentuk insan bertunjangkan pemikiran Islam, menterjemahkan keimanan mereka kepada keislaman secara amali. Baginda mencetak mushaf Al-Quran kepada puluhan naskhah, kemudian bertambah menjadi ratusan, malah ribuan. Baginda tidak mencetaknya menggunakan dakwat atas lembaran kertas, tetapi mencetaknya dengan cahaya atas lembaran hati. Baginda melepaskan 'mushaf-mushaf' in bergaul dengan orang, mengambil, memberi, dan menceritakan kepada mereka dengan perbuatan dan amalan mereka apakah itu Islam yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah daripada Allah.
"Baginda tidak mencetaknya menggunakan dakwat atas lembaran kertas, tetapi mencetaknya dengan cahaya atas lembaran hati"
Sesiapa yang ingin mengkaji tentang bagaimana umat terawal yang terdiri daripada sahabat Rasulullah s.a.w. dan mereka yang hidup selepas zaman mereka, maka kajilah sejarah bagi menyingkap lebih banyak kelebihan dan peninggalan mereka yang mulia.
Dunia ini tidak pernah mengenali orang yang lebih mulia, lembut, penyayang, agung, tinggi dan lebih berilmu daripada mereka.
Cukuplah ayat-ayat yang menceritakan tentang mereka ini menjadi bukti kemuliaan, kemegahan dan kekekalan mereka."
Sila Klik!
Sila Klik!
Post a Comment